Saturday, May 5, 2018

Rayyan

Rayyan lahir pada November 19**.  Ummi mula sakit sikit2 pada subuh sehari sebelumnya. Tak boleh tidur sepanjang malam. Pergi kerja. Staff senior kata mungkin baby akan lahir tengah malam nanti. Pukul 11 pagi pergi hospital Sultanah Aminah kat JB sebab dah keluar darah. Jalan jem, pukul 1 tgh baru sampai. Pesakit terlalu ramai, berdiri tunggu giliran walau lutut dah terketar2 dan perut rasa cramp. Bangku menunggu pun macam bangku kat sekolah je. Tapi nampak aje bangku kosong, cepat2 ummi duduk, baru lah rasa lega sikit.

Pukul 5 pm, alhamdulillah dapat katil. 8 pm masuk bilik persediaan, doktor pecahkan air ketuban. Dari 2 cm terus buka 6 cm. Sakit yg tak tertanggung. Seolah-olah nak bercerai pinggang dan punggung dari badan. Graf contraction sentiasa berdekatan puncak, tak pernah turun atau rehat seketika pun. Baru rasa insaf macam nilah agaknya nenek sakit nak lahirkan ummi dulu. Rasa tertipu gak dengan kawan2 yg cakap sakit macam masa period aje. Iyo la tu.

12 tgh malam, dah buka penuh 10 cm, masuk bilik bersalin dan dah boleh teran. Tapi contraction yg tiba2 jadi relaks buatkan ummi tertidur kepenatan. Nurse pun apa lagi, teran, teran! Ummi dah tak berdaya langsung, lepas sejam teran, dengan pertolongan nurse dan doktor, Rayyan lahir juga akhirnya pada pukul 1.30 pagi 1 Nov. Kecil je, 2.8kg. Tapi mata besar dan terus melilau-lilau tengok dunia sekelilingnya.

Ayah dan nenek datang dan azankan. Menyusu tak berhenti-henti sepanjang subuh. Ummi lak tertidur kepenatan. Nurse kadang2 datang kejutkan ummi sebab baby tengah meraung nak menyusu. Esoknya ayah hantar ummi, Rayyan dan nenek balik Segamat. Duduk dua minggu di Segamat.

Aisyah

Aisyah dilahirkan pada pukul 3 setengah pagi Dec 19** di Grand River Hospital, Kitchener, Ontario, Canada. Masa nak keluar dari rumah, salji dah mula turun sikit-sikit. Hospital sunyi sebab ramai staff yang masih bercuti Krismas. Doktor kami baru aje habis bercuti dan datang pukul 12 tgh malam tu untuk menyambut Aisyah.

Masa tu ayah dan Rayyan (2 tahun) tunggu diluar bilik bersalin sebab nurse tak bagi Rayyan masuk. Tapi bila Rayyan dah tertidur dalam stroller, nurse benarkan mereka masuk. Ayah tolong doktor sambut kelahiran Aisyah.

Aisyah nampak demok dan montel walau 3.3 kg aje, patutlah degil sangat nak keluar. Mata sepet dan rambut licin seperti diminyak. Nurse tanya ummi ni Cina kawin Arab ke? Muahahaha... tapi ayah dengan janggutnya, memang nampak macam Bangla+middle eastern pun, pernah kena tahan masa nak naik flight ke Halifax. 

Rambut Aisyah cuma berubah jadi halus dan kering lepas tali pusat tanggal 2 minggu kemudian. 

Bila dengar suara Aisyah menangis, Rayyan terus terjaga. Rayyan tak nak pandang kat Aisyah pun, tapi semua orang faham. Lepas tu ayah dengan Rayyan balik ke rumah. Subuh tu ummi mengantuk sangat, bila nurse tanya nak letak Aisyah dalam bilik baby ke, cepat-cepat ummi setuju. Nurse datang 2 jam sekali untuk bagi Aisyah minum.

Pagi tu, ummi selalu jenguk ke luar tingkap, tunggu ayah dan Rayyan. Dari bilik hospital tu, ummi boleh nampak tempat letak kereta. Salji dah semakin tebal. Tiba-tiba ummi nampak ayah sorong stroller Rayyan melawan salji yang dah dikikis. Ummi rasa sedih, macammanalah Rayyan malam tadi tidur tanpa ummi. Mulai hari ini, tentu masa ummi akan lebih pada Aisyah, sedangkan sebelum ini di mana ada ummi, di situlah juga ada Rayyan

Sarah

Ummi dah daftar ke pejabat bidan kerajaan Ontario untuk lahirkan anak ke 3 di rumah. Jumpa bidan sebulan sekali , sebulan sebelum due date, jumpa seminggu sekali. Bidan pun lawat rumah untuk pastikan bilik bersalin nanti lengkap dengan semua yang diperlukan. Selain keperluan bayi, paling utama ialah plastik buang/lapik bagi menapis sebarang darah/kekotoran dari terkena tilam, carpet dan peralatan. Di atas lapisan plastik barulah disarungkan cadar/ sarung bantal, kain lama lain yang akan dibuang terus selepas ini. Nombor telefon bidan dan ambulan mesti direkodkan.


Sabtu  Jun 20**. Bidan datang semasa contx dah 5 minit sekali pukul 2.30 pagi, pecahkan air untuk cepatkan labor pukul 3.30 pagi. Servik terus buka dari 5 cm ke 6 cm. Pukul 4.30 pagi, dah buka 7 cm. Lepas tu bidan cadangkan ummi berendam dalam air suam untuk kurangkan sakit. Sebab mengantuk sangat tak tidur dari malam tadi, masa dalam bath tub tu sempat tertidur antara contx. Air suam tu betul2 melegakan.


Pukul 5.30 pagi, baring di katil semula, dah 9 cm. Masa tu sakit memang dah tak tertahan lagi, tiap-tiap kali contx cengkam tangan ayah sekuat-kuatnya. Nak dekat pukul 6 pagi, terus teran. Pukul 6.17 pagi anak kami pun lahir ke dunia. Bidan terus letak atas perut dan suruh kami tengok sendiri dapat anak lelaki @ perempuan. Anak perempuan rupanya, terus diberi nama Sarah, pilihan ayahnya. Sarah terus buka mata dan menyusu sepuasnya. Kecil aje Sarah, tak sebesar dan segemuk Aisyah dulu, tapi aduh sakitnya nak bersalinkan dia. Buat masa ini, muka Sarah lebih mirip Rayyan. Masa tu Rayyan terbangun dari tidur, terkejut dia tengok dah ada baby baru dalam rumah. Tapi dia terus cakap sayang kat Sarah.


Sebelum bidan balik, dia mandikan ummi dan Sarah dalam bath tub pakai herba yang kami dah sediakan ikut arahan bidan. 9 pagi, baru Aisyah terbangun. Aisyah terus tepuk Sarah perlahan-lahan masa kami baringkan dalam crib. Sarah lahir pukul 6.17 pagi di rumah, Sabtu 16 Jun 2001 (24 Rab ul Awal 1422). Berat 6 lb 15 oz (1 oz lagi 7 lb). Kawan-kawan datang melawat pagi tu, terkejut tengok bilik kami yang bersih dan kemas. Langsung tak ada tanda-tanda lepas bersalin. Tak ada setitis darah atau kekotoran pun. Cadar putih bersih. He he he mereka tak tahu rahsianya. Biarkan mereka berteka-teki

Basel

Alhamdulillah, Basel selamat dilahirkan pada  Mac 20**, pukul 1.58 am. Beratnya 2.9 kg. Lebih 0.1 kg je dari Rayyan. Rambut dan muka macam Rayyan.

6 hb tu ummi masih bekerja. Walaupun antara pukul 6 pagi hingga 8 pagi contractions dah 5-10 minit sekali, tapi lepas tu bertukar jadi 15 - 30 minit sekali. Pattern false contx. So pergi kerja juga hari tu, nak tinggalkan segala-gala pesanan penting. Masa drive ke tempat kerja adalah kena contx 2-3 kali, tapi masih boleh tahan.

Pukul 10 pagi tu dah keluar darah. Sah mesti bersalin tak lama lagi ni, macam Rayyan dulu. Dah bagitau office akan ke hospital hari ni. Tengah sibuk ke sana sini tu ada pulak staf kamera datang ambik gambar nak tampal kat front ofis. Tak sempat nak belek muka pun, ummi terus bersandar kat dinding ofis, dan 'klik', selesai sesi fotografi.


Pukul 2 petang balik ke rumah. Contx masih antara 15 - 30 minit sekali? Tak ikut pattern dalam buku yg sepatutnya semakin cepat. Tapi sakitnya makin kuat dan lama. Ini semua tanda memang nak bersalin. Pukul 9 malam masih macam tu juga. Betul ke ni? Nenek telefon dari Segamat, tanya dah bersalin ke? Bila cakap masih tak sakit sangat lagi, nenek terus suruh balik ke Segamat malam tu juga. Tunggu Sarah dan Aisyah yang dibawa penjaga mereka berjalan ke Pasir Gudang.

Pukul 10 malam tu bertolak ke Segamat. Dalam kereta ya Allah sakitnya semakin lama dan kuat. Tapi selang masa contx masih tak tetap, antara 10 - 30 minit sekali. Ayah pandu kereta laju betul, ummi kena ingatkan supaya berhati-hati dan perlahan sikit. Pukul 12 tgh malam sampai di hospital Segamat. Ayah hantar Rayyan, Aisyah dan Sarah ke rumah nenek di Gemereh. Ummi naik ke wad bersalin, menjinjing bakul baby. Bersama sorang bakal ibu yang sangat sarat nampaknya, berjalan pun dalam kepayahan.

Masa nak check in, nurse tanya ummi temankan perempuan yang lagi sorang tu ke? Mana taknya, ummi langsung tak da tanda-tanda macam orang nak bersalin. Ummi pun berdoa-doa, cepatlah contx biar nurse tu nampak yang ummi memang nak bersalin. Malangnya dah hampir setengah jam menunggu masih tak datang sakit tu. Sapa pun tak percaya yg ummi dah nak bersalin.

Tiba-tiba ummi kena contx, barulah nurse suruh ummi baring untuk buat check up. Nurse kata dah 4 cm buka. Diaorang sorong ummi ke bilik bersalin dan pecahkan air. Waktu tu dah hampir pukul 1 pagi. Ayah tiba tak lama kemudian dan temankan ummi di bilik bersalin. Sebaik air pecah, terus terbuka 5 cm. Ketika itu, setiap kali contx, sakitnya memang benar2 terasa, terutama di bahagian punggung dan belakang. Tapi contx masih TAK TETAP. Kadang-kadang cepat, kadang2 lambat.

Sampai satu takat, semua nurse dan bidan dah pergi buat kerja masing-masing sebab ingat lambat lagi ni. Masa tulah ummi terasa baby nak keluar, teran kuat-kuat dan terasa kepala baby dah keluar. Sorang dari nurse menoleh dan ternampak kepala baby dah keluar, dia terus jerit. Nanti jangan teran dulu. Syukurlah diaorang sempat sambut. Malam tu cuma ummi dan sorang wanita yang bersalin di hospital Segamat. Berbanding dengan JB, layanan di sini first class, maklumkan pesakit tak ramai.

Basel menangis sepanjang malam sebab lapar, susu ummi masih belum keluar. Oh ya, nama Basel belum wujud lagi masa ni. Punyalah lama ayah cari, seminggu lepas tu baru dapat nama. Atuk dah cadangkan nama Sarifudin sempena nama sultan Selangor masa tu.

Ummi, Sarah, Aisyah dan Basel duduk di Segamat selama seminggu. Rayyan dan ayah tinggal di JB. Masa tu nenek yang banyak jaga Sarah. Jadi tak delah dia terasa sangat ummi dah ada baby baru. Sarah juga sangat sayangkan Basel. Asyik nak cium aje. Paling dia dengki kalau Haris nak dekat Basel, tak bagi. Lagi satu kalau nenek riba sorang lagi budak kecik yang nenek jaga, Sarah cepat2 nak beriba juga.

Ummi bercadang Basel jadi anak bungsu, lepas ni nak berehat panjang.

HF

Oktober 20**.  Minggu ke2 Ramadhan. Baby dalam perut dah seharian tak bergerak, ummi risau sebab takut ada problem. Pergi hospital Segamat, buat ultrasound. Nurse kata masih ada heartbeat, cuma lemah, mungkin sebab ummi puasa. Nurse cadangkan ummi berbuka. Tapi hospital tahan ummi sebab nak monitor heartbeat baby.

Ummi duduk sorang2 kat hospital, boringnya. Ahad masuk, hari Isnin contx 5 minit sekali, ummi minta doktor check. Dr kata baru 2 cm, tapi dia terus pecahkan pntu serviks. Satu malam ummi tunggu, perut cramp, sakit sangat. Darah pun asyik keluar. Call ayah minta datang ke Segamat. Masa tu ayah, Rayyan, Aisyah dan Sarah ada kat JB. Esoknya Dr check, masih 2 cm, tak berubah langsung.

Ayah datang, doktor pakar check kata baby ummi besar, dan dia cadang buat ceaser. Ayah dan ummi bincang dan nak normal, jadi doktor tulis surat yg dia tak bertanggungjawab kalau ada apa2 terjadi pada ummi dan baby kelak. Doktor bagi ummi balik rumah sebab tak ada tanda2 nak bersalin lagi.

Ayah balik semula ke JB. Kat rumah nenek, ummi sakit sangat. Darah sentiasa keluar, tapi contx masih tak betul lagi. Ummi sempat beli majalah mingguan wanita, dan alhamdulillah ada cerita seorang perempuan yg keluar darah selama seminggu sebelum lahirkan anak dengan selamat.

Sehari sebelum Hf lahir, pukul 4 petang tu ummi dah sakit contx tetap. Ayah dan semua anak2 ada, sebab hari minggu. Pukul 6 petang atuk, nenek, ayah dan semua anak2 hantar pergi hospital Segamat. Pukul 8 malam ummi dimasukkan ke wad bersalin. Sakit yg teramat, peak contx dah terkeluar dari graf, yg ada cuma pangkal aje, nampak macam pangkal balak dah ditebang. Pukul 9.30 malam dah 10 cm, ummi boleh teran.

Tapi ummi dah tak berdaya, teran sekuat tenaga, baby tetap tak keluar. Nurse cakap sesama sendiri, -1. Walau nurse tak bagitau, ummi tau apa maksudnya. Untuk kes biasa, -1 tu maksudnya kepala baby tak turun pun lagi kat salur servik, masih tinggi dalam perut. Anak ummi dulu2, kalau doktor check -1, doktor suruh balik dulu sebab baby belum nak lahir, servik pun biasnaya baru 2 cm. Tapi sekarang ummi WAJIB lahirkan baby ini walau macammana pun, sebab dah lama sangat air ketuban dipecahkan, servik pun dah buka penuh.

Pukul 10.30 malam, doktor kata dah nampak kepala baby, doktor zapp ummi besar gak, sebab expect baby besar. Hf selamat dilahirkan akhirnya, mata dah terbukak, kepala, muka dan badan penuh dengan darah ummi. Badan memang semangat, macam dah umur sebulan. Berat 3.7 kg. Comel.

Ummi kena duduk di hospital 3 hari lagi sebab pundi kencing ummi bengkak. Kesian atuk yg berulang-alik bawa nenek tengok ummi, sebab dia pula kena asma. Pastu nenek ikut ummi balik JB untuk tolong jaga Habel seminggu. Nenek kena balik Segamat sebab nak prepare hari raya.

Kelahiran Hf adalah yang paling sakit dan paling susah bagi ummi, dan selepas sebulan berpantang pun, jahitan di bawah masih belum pulih sepenuhnya, sangat pedih bila luka terkena air.  Ummi tak boleh banyak bergerak dan berdiri, sedangkan ummi ada 4 orang anak lagi yang sedang membesar, nakal dan kuat makan.  Ummi kena kuat  supaya semuanya masih dalam keadaan terkawal.